Golongan ‘Istimewa’

Gelaran ‘istimewa’, ‘khas’ atau ‘special’ yang sudah sekian lama diberikan kepada OKU merupakan salah satu sebab mengapa berlaku pengasingan diantara golongan OKU dengan masyarakat. Ini telah menyukarkan lagi proses untuk mewujudkan masyarakat inklusif.

Secara jujur saya katakan, gelaran-gelaran manis yang diberikan ini hanyalah sekadar untuk mengaburi pemikiran golongan OKU agar mereka merasa dihargai, disayangi dan dipeduli. Tidak dinafikan ramai OKU yang suka dan bangga bila diberi layanan yang istimewa seolah-olah seperti seorang kenamaan yang diagungkan. Tanpa sedari, gelaran dan layanan yang diterima adalah sekadar untuk memuaskan hati mereka agar selepas ini mereka menerima apa sahaja kemudahan yang telah diberikan.

Hakikatnya, gelaran istimewa dan khas ini tidak akan dapat menghapuskan halangan-halangan yang wujud sekaligus menidakkan penyertaan penuh OKU dalam masyarakat.

Fariz Rani

Special seat yang terletak di sudut belakang dalam pawagam yang disediakan khas untuk OKU hanya akan memisahkan mereka dengan keluarga atau rakan-rakan yang datang untuk menonton bersamanya.
Sekolah pendidikan khas menyediakan bilik darjah untuk pelajar OKU yang berasingan dengan pelajar aliran perdana menyebabkan pergaulan antara mereka menjadi terbatas dan tanpa sedari telah menanamkan satu bentuk pemikiran agar memisahkan OKU dengan masyarakat sejak dari bangku sekolah lagi.

Penganjur program, kursus, forum atau seminar yang menyediakan ruang makan khas untuk peserta OKU yang terpisah dari peserta lain dengan tujuan agar mereka tidak perlu bersesak atau beratur, tanpa sedari telah menghalang peserta-peserta OKU untuk berpeluang bergaul dan bersosial dengan peserta-peserta yang lain.

Ada banyak lagi perkara yang mengaitkan gelaran istimewa atau khas ini kepada OKU yang akhirnya telah membawa kepada pengasingan golongan OKU daripada masyarakat.Bagi penyelesaian tentang isu ini, adalah lebih baik jika konsep kesamarataan atau ‘equality’ dipraktikkan dengan menyediakan sokongan berbentuk fasiliti yang boleh akses atau perkhidmatan yang bersuaian untuk semua kategori OKU daripada sekadar menggunakan cara yang akhirnya mengasingkan OKU dari masyarakat.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email