OKU Yang Hidup Berdikari (Independent)

Ramai OKU yang menginginkan kehidupan berdikari dimana mereka dapat menjalani kehidupan seharian bebas tanpa memerlukan bantuan atau pertolongan daripada sesiapa, lebih-lebih lagi individu OKU yang mempunyai fungsi anggota badan dan intelektual yang bagus, kuat dan seimbang.

Ada kalanya, kebolehan berdikari ini dianggap sebagai simbol kehebatan yang ingin disampaikan kepada masyarakat luar bahawa walaupun kami OKU, tapi kami boleh lakukan perkara yang setaraf dengan mereka yang sihat tubuh badan. Slogan seperti ‘Kalau saya OKU boleh, kenapa kamu tidak?’ atau ‘OKU pun boleh buat, apa alasan awak?’ seringkali ditunjukkan di posting media sosial.

Persoalannya, bolehkah hidup berdikari itu dicapai oleh semua OKU yang memiliki keterbatasan fungsi anggota, badan dan intelektual yang berbeza-beza? Apakah formula yang sesuai agar hidup berdikari dapat dinikmati oleh semua OKU dan bukan hanya terhad untuk OKU yang memiliki kelebihan tersendiri?

Ramai OKU yang menganggap bahawa hidup berdikari itu bermaksud berusaha 200% lebih dari orang lain sehingga tidak memerlukan bantuan sesiapa. Sebenarnya, selagi tiada fasiliti dan perkhidmatan yang akses untuk semua OKU, selagi itu OKU tidak akan mampu hidup berdikari.

Fariz Rani

Tidak mungkin seorang OKU penglihatan boleh hidup berdikari di dalam masyarakat tanpa disediakan khidmat Pembantu Peribadi (PA).

Tidak mungkin seorang OKU pendengaran boleh hidup berdikari jika tidak disediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat di tempat awam oleh masyarakat.

Tidak mungkin seorang OKU autisma boleh hidup berdikari jika tidak disediakan perkhidmatan sistem sokongan autisma di sekolah, tempat kerja dan di tempat awam.

Namun begitu, adakah semua fasiliti dan perkhidmatan ini akan disediakan dengan sekelip mata? Sudah tentu jawapannya tidak. Masyarakat kita tidak akan mengetahui tentang semua keperluan ini tanpa tindakan proaktif daripada OKU itu sendiri.

Bagi mencapai tujuan tersebut, menganjurkan seminar kesedaran tentang kehidupan berdikari adalah tidak mencukupi dan tidak efektif. Masyarakat seharusnya diberikan kefahaman dan pengetahuan tentang perkara ini dengan melibatkan mereka ke dalam program kesedaran seperti bengkel Disability Equality Training dan Disability Awareness Training dimana mereka berpeluang untuk melaksanakan pelan tindakan ke arah membentuk masyarakat yang inklusif.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email