Count Me In: Muhammad Zulkarnain Bin Adinin

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Minggu ini tim farizrani.com telah berkunjung ke bandar Sandakan untuk bertemu dengan saudara Muhammad Zulkarnain bin Adinin, salah seorang rakan saya dan juga merupakan jurulatih Disability Equility Training (DET) untuk episod pertama siri “Count Me In”.

Siri vlog ini merupakan salah satu usaha kami untuk mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh rakan-rakan OKU dalam menjalani kehidupan seharian, terutama sekali halangan-halangan yang dihadapi oleh mereka setiap hari.

Siri “Count Me In” ini bukan bertujuan untuk meraih simpati daripada orang ramai, tetapi ditonjolkan bertujuan untuk menunjukkan bahawa halangan-halangan yang diwujudkan oleh masyarakat telah menggagalkan penyertaan secara penuh OKU dan sekaligus melambatkan lagi proses mewujudkan masyarat yang inklusif.

Apa yang menarik tentang Zul adalah dia merupakan seorang usahawan multimedia, Panji Emas Multimedia, yang membekal dan membaiki komputer dan memiliki premis kedai di kawasan Sejati Walk yang terletak di tengah bandaraya Sandakan ini.

Episod yang pertama ini juga telah mengupas cerita kehidupan Zul yang kami anggap bertuah kerana sejak kecil lagi dia telah mendapat sistem sokongan yang mencukupi daripada keluarganya yang membolehkan dia menamatkan persekolahan. Ramai lagi OKU tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan disebabkan sekolah yang tidak akses atau sistem sokongan keluarga yang lemah.

Diakhir sesi temuramah kami, Zul berkongsi harapannya agar masyarakat lebih peka dan bersedia untuk mewujudkan sistem sokongan yang menyeluruh kepada golongan OKU sehingga mereka dapat berfungsi secara efektif dalam masyarakat inklusif.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email