Mengambil OKU Bekerja Bukanlah ‘Charity’

Seringkali masyarakat menganggap bahawa mengambil atau menggajikan orang kurang upaya atau OKU merupakan satu tindakan berbentuk charity atau kebajikan, walaupun kebanyakkan daripada majikan-majikan tersebut memperolehi lebih banyak manfaat hasil daripada tindakan tersebut.

Ramai dikalangan OKU di luar sana yang memiliki kelayakan dalam akademik atau kemahiran teknikal yang boleh bekerja dan melaksanakan tugasan sama seperti orang lain. Limitasi pada fungsi serta struktur badan atau intelek yang dimiliki oleh OKU adalah bersifat individu dan boleh diatasi dengan penyediaan kemudahan dan sokongan di tempat kerja. 

Tidak dinafikan bahawa ramai majikan yang menganggap dengan memberikan OKU pekerjaan, maka lengkap sudahlah tanggungjawab Corporate Social Responsibility atau CSR mereka kepada masyarakat tanpa memikirkan bahawa OKU juga merupakan salah satu daripada berjuta tenaga kerja (workforce) yang juga menyumbang kepada pembangunan negara.

Tanggapan masyarakat bahawa OKU adalah golongan yang tidak produktif dan sering mengambil cuti sakit merupakan sikap prejudis yang menjadi punca utama kepada majikan untuk tidak mengambil OKU sebagai pekerja. Lihat sahaja berapa banyak maklumat yang negatif dan tidak tepat yang ditayangkan dalam drama TV dan media sosial seolah-olah semua OKU adalah malang atau peminta sedekah. Ini telah menyebabkan tindakan mengambil OKU bekerja dianggap satu tindakan yang ‘mulia’ dan bersifat kebajikan. Akibat daripada tanggapan sedemikian, majikan-majikan ini memberikan gaji yang lebih rendah kepada OKU walaupun tugasan yang diberikan adalah sama dengan pekerja yang lain.

Tidakkah itu satu pembaziran yang sia-sia kepada negara kita apabila beribu-ribu OKU yang berbakat dan berpontensi dinafikan peluang untuk menyumbangkan kebolehan mereka? Masih lagikah kita beranggapan bahawa OKU Penglihatan hanya layak bekerja sebagai tukang urut refleksologi dan menganyam bakul rotan? Atau OKU Pendengaran hanya sesuai bekerja di restoren makanan segera? OKU Fizikal pula bekerja di kaunter bayaran kerana tidak perlukan pergerakan yang banyak?

Sebenarnya, mengambil atau menggaji OKU sebagai pekerja mempunyai banyak kelebihan dari segi peningkatan efisyensi, produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi. 

Pekerja OKU amat menghargai peluang dan kepercayaan yang diamanahkan, justeru menjadikan tugasan yang diberikan kepada mereka dilaksanakan dengan cermat dan bersungguh-sungguh. Keselamatan di tempat kerja juga sering diutamakan kerana mereka peka pada limitasi fungsi serta struktur badan atau intelek yang dimiliki. Ini menyumbang kepada kurangnya risiko kemalangan di tempat kerja. 

Atas dasar tersebutlah kebanyakkan rekod pengekalan kerja (work retention) OKU adalah lebih lama berbanding dengan pekerja bukan OKU. Semua ini selalunya menjadi sebagai pemangkin produktiviti dan motivasi kerja yang tinggi kepada pekerja yang lain dan merupakan satu kelebihan positif kepada perkembangan sesebuah organisasi.

Walaubagaimanapun, saya tidak nafikan masih ada faktor-faktor lain yang menyumbangkan kepada OKU tidak mendapat peluang untuk keluar bekerja. Faktor-faktor tersebut adalah seperti sistem pengangkutan awam yang tidak akses, keadaan tempat kerja yang banyak halangan, sikap rakan sekerja yang memandang rendah kebolehan OKU, ibu bapa yang terlalu bersikap melindungi anak OKU (over protective) dan akhir sekali sikap negatif OKU itu sendiri yang liat untuk berusaha dan tiada inisiatif untuk mendapatkan pekerjaan.

Akhir kata, saya menyeru kepada masyarakat agar tidak lagi menganggap bahawa memberikan pekerjaan kepada OKU itu adalah satu tindakan berbentuk charity atau kebajikan lagi. 

Sekiranya anda mempunyai pengalaman atau cerita berkenaan topik yang dibincangkan di atas, saya alu-alukan untuk berkongsi pendapat atau komen di ruangan bawah.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email