Menjadi OKU, Mengapa Aku Yang Diuji?

Apabila berlaku satu trajedi yang menimpa seseorang dan menyebabkan dia menjadi OKU, seringkali timbul persoalan seperti “Mengapa aku yang dipilih? Mengapa bukan orang lain yang jadi OKU? Apa salah aku sampai kehidupan aku susah begini?”

Soalan yang serupa juga ditanya oleh mereka yang dilahirkan sebagai OKU seperti “Siapa yang bersalah sampai aku dilahirkan sebagai OKU? Aku tidak pernah isi ‘borang’ untuk bersetuju menjadi OKU, mengapa aku yang diuji?”

Persoalannya sekarang, segala kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU dalam menjalani kehidupan seharian, siapakah yang sebenarnya diuji? Adakah ujian itu perlu dipikul oleh OKU itu sendiri?

Masyarakat seringkali menganggap bahawa ujian yang diberikan kepada OKU terletak di bahu OKU itu sendiri kerana mereka tidak ada kaitan secara langsung kepada penyebab mereka menjadi OKU. Masyarakat sekadar beranggapan itu takdir yang datang dari Tuhan dan biarlah OKU ini dijaga oleh-Nya. Lebih teruk lagi apabila ada masyarakat yang percaya bahawa dilahirkan menjadi OKU itu adalah balasan dari dosa-dosa ibu bapa mereka yang lepas atau menjadi OKU melalui kejadian kemalangan adalah akibat balasan dari dosa-dosa individu tersebut. Maka, atas dasar alasan-alasan tersebut, masyarakat dengan tanpa rasa bersalah, membiarkan golongan OKU bersama-sama dengan ahli keluarga mereka terkapai-kapai sendirian mencari cara untuk mengatasi cabaran dan halangan yang wujud dalam kehidupan seharian.

Ketahuilah, apabila seseorang individu itu diuji dengan sesuatu perkara atau musibah, secara tidak langsung ahli keluarga, saudara-mara, rakan taulan, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling juga turut sama diuji dari sudut yang berbeza-beza. Begitu juga keadaannya dimana masyarakat sebenarnya diuji apabila terdapat OKU wujud bersama-sama dikalangan mereka. Tuhan mahu menguji dan melihat apakah tindakan masyarakat di sekeliling dalam menghulurkan bantuan dan sokongan perkhidmatan kepada OKU untuk memudahkan kehidupan seharian mereka.

Apabila terdapat pelajar OKU di sekolah, ia adalah ujian buat tenaga pengajar dan pentadbir sekolah tersebut. Adakah mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam menyediakan sokongan pembelajaran kepada pelajar OKU ini? Di tempat kerja, majikan dan rakan sekerja diuji bukan saja dari segi penyediaan fasiliti, bahkan juga dari segi sokongan moral dan layanan terhadap pekerja OKU tersebut. Adakah mereka menerima layanan yang sama seperti rakan sekerja yang lain Adakah mereka dibayar gaji yang setimpal mengikut kerja yang mereka lakukan?

Keadaan yang sama juga apabila masyarakat melihat saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan bahkan orang sekeliling yang menghadapi musibah. Sedarlah bahawa masyarakat sebenarnya diuji samada mereka akan turut sama menghulurkan bantuan atau memalingkan muka ke arah lain. Apabila jiran diuji dengan rumah yang musnah akibat kebakaran, jangan sesekali kita terlupa bahawa kita juga sedang diuji. Betapa tinggikah sifat kemanusiaan, simpati dan empati yang ada dalam diri kita?

Tatkala Kita Diberikan Ujian

Walauapapun yang berlaku, seseorang individu tidak seharusnya merasa sedih atau kecewa dan menyalahkan diri atas ujian yang menimpa diri mereka kerana setiap yang berlaku di atas dunia ini, pasti ada hikmahnya. Dan setiap manusia telah dijanjikan akan diuji dengan ujian yang berbeza di atas bumi-Nya ini. Ada yang diuji dengan kesihatan, kelaparan, kesedihan, kekurangan harta, anak-anak dan keluarga, dan sebagainya. Ketahuilah bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian dan sesetengah masalah perlukan masa untuk diselesaikan.

Akhir sekali, kepada mereka yang belum diuji dengan musibah, usahlah mendabik dada dan menganggap bahawa diri itu bernasib baik berbanding dengan orang lain kerana kelangsungan spesis manusia selama berpuluh ribu tahun bukan kerana sifat penting diri, tetapi kerana manusia merupakan spesis yang menyokong diantara satu dengan lain secara berkelompok (social animal).

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email